Tuesday, March 17, 2015

(First Post) Batu Sungai

           "Aman, Adli bangun dah Subuh nie. Bangun cepat !! " terdengar suara Mak Timah mengejutkan kedua-dua anaknya yang masih dibuai mimpi. 
           "Lailahailaallah. Bangun lah. Nanti lambat pergi sekolah. Bangun cepat sebelum mak bawak batang buluh naik atas badan korang nantikan." marah Mak Timah. Perlahan-lahan Aman dan Adli turun dari katil mereka dalam keadaan yang separa sedar. Dalam keadaan itu, Aman dengan tidak sengaja telah terpijak kereta mainan Adli hingga menyebabkan dia jatuh dan terhantuk dengan Adli yang turut sekali jatuh kerana ditarik oleh Aman.
           "Aduh ! Sakitnya. Benda apa yang terhantuk kat kepala aku ni?" teriak Aman sambil menggosok-gosok kepalanya yang benjol akibat hantukan.
           "Kepala aku lah. Keras giler kepala kau. Macam batu." balas Adli. Akibat daripada hantukan itu, kedua-dua orang mereka terjaga sepenuhnya.
            "Dah jangan nk bergaduh kat sini. Ambik tuala ni pergi mandi cepat-cepat. Nanti  lambat nak ke sekolah." arah Mak Timah. Mereka pun bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
            "Bangun! Terima kasih cikgu." 
            "Terima kasih cikgu"
Cikgu Dahlia berlalu keluar apabila ucapan terima kasih dan salam diucapkan oleh seisi kelas. Berakhirlah sesi persekolahan pada hari itu.Aman cepat-cepat mengemas bukunya dan masukkan ke dalam beg sekolahnya. Kawan rapat Aman, Saiful tiba-tiba menegurnya.
             "Wei Aman, jom lepak kat sungai kat hujung kampung tu. Tempat tu best. Dah la cantik pastu air sungai tu sejuk. Jomlah." ajak Saiful
             "Tengok dulu. Aku tanya mak aku dulu. Kalau boleh aku telefon, kalau tak boleh pon aku telefon." kata Aman. Saiful setuju dengan Aman. Mereka pulang ke rumah bersama-sama dengan menaiki basikal . Sampai di satu simpang mereka berpecah kerana mengikut laluan ke rumah masing-masing. Apabila sampai di rumah, Aman mendapati bahawa adiknya sudah terlebih dahulu sampai di rumah. Aman segera meletakkan basikalnya di bawah rumah dan bergegas naik ke atas rumah.
              "Assalamualaikum !" Aman memberi salam
              "Waalaikumussalam." Mak Timah menjawab salam Aman. Dia membuka pintu dan Aman terus mencium tangannya.
              "Mak masak apa hari ni?" tanya Aman sejurus merebahkan dirinya ke atas sofa.
              "Mak masak ikan keli masak sambal je. Dah pergi mandi-mandi, solat pastu baru makan. Tu kejutkan si Adli suruh dia solat dulu. Balik-balik tadi terus landing atas katil dia tu." kata Mak Timah. Aman hanya mengikut arahan ibunya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
               "Mak, tadi Saiful ajak pergi sungai kat hujung kampung tu. Boleh tak Aman nak pergi?"
tanya Aman kepada ibunya.
               "Kamu nak buat apa kat sana. Panas-panas macam ni. Bahayalah." kata Mak Timah.
               "Dia ajak saja-saja je. Lepak, mandi kat sana. Bukan nak pergi sekaranglah. Nak pergi dalam pukul 3 atau 4 petang nanti. Bolehla.." Aman cuba memujuk ibunya.
                "Hmm. Yela. Jangan pergi lama-lama sangat. Kalau boleh bawak Adli tu sekali. Bosan dia duduk kat rumah sorang-sorang nanti." jawab Mak Timah
                "Terima kasih ibu. Sayang ibu!" kata Aman dan terus mengucup pipi ibunya. Aman terus menelefon Saiful dan memberitahu perkara tersebut. Dia sudah tidak sabar untuk ke sungai tersebut.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
                "Assalamualaikum. Aman!" Saiful memberi salam dan memanggil nama Aman.
                "Waalaikumussalam. Jap !" balas Aman yang berada di dalam rumah.
                "Cepatlah Adli. Saiful dah tunggu tu. Tak pasal-pasal karang dia pergi macam tu je." kata Aman kepada Adli.
                "Orang dah siaplah. Jom." kata Adli dengan penuh semangat kerana tidak sabar untuk ke sungai.
                "Aman,Adli jalan elok-elok ya. Balik sebelum pukul 5:30 petang ya. Kamu juga Saiful. Risau pulak mak kamu mencari kamu nanti." kata Mak Timah.
                "Baik makcik. Inshaallah, kami tak apa-apa." balas Saiful. Aman dan Adli mencium tangan ibunya sebelum pergi. Jarak sungai itu dari rumah Aman dan Adli hanya mengambil masa kira-kira 5 minit sahaja. Sampai di sana, mereka terus membuka baju dan melompat masuk ke dalam air sungai.
                "Brrr.. Sejuk gila air sungai ni. Best kot. Nasib baik kau ajak aku Saiful." kata Aman.
                "Abang aku yang cakap pasal sungai ni. Macam best. Aku ajak kau dah alang-alang rumah kau dekat je ngan sungai ni." kata Saiful.
                "Abang ! Tengok ni. Batu-batu ni semua cantik-cantik. Adli nak ambik letak dalam akuarium kat rumah la." kata Adli.
                "Ikut kau lah Adli." jawab Aman. Adli mengutip beberapa ketul batu sungai untuk diletakkan di dalam akuarium di rumahnya. Mereka terus berseronok sehingga jam hampir pukul 5 petang. Mereka mengemas barang dan mengayuh basikal semula pulang ke rumah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
                 Malam itu, Adli terjaga apabila dia berasa seperti hendak ke tandas. Dia segera turun daripada katil dan terus menuju ke tandas. Dia lihat abangnya masih diselubungi selimut menandakan yang Aman masih nyenyak tidur. Sampai di tandas yang berdekatan dengan dapur, Adli terus menyalakan lampu dan membuang hajatnya dan membasuh apa yang patut. Apabila dia melangkah keluar, dia ternampak kelibat abangnya berada di hadapan akuarium yang diletakkan dengan batu sungai yang dikutipnya petang tadi.
                 "Abang, buat apa depan akuarium tu. Malam dah ni. Jom la pergi tidur." kata Adli. Apabila Adli mendekati 'abangnya', dia terkejut kerana itu bukanlah abangnya tetapi makhluk lain. Makhluk yang seiras abangnya itu terus menerpa Adli dan mencekiknya dan berkata
                 "Pulangkan barang aku! Pulangkan barang aku sebelum kau terima bala yang lagi teruk!"
Adli yang tidak mampu melakukan apa-apa hanya menangis dan pandangannya menjadi kelam lalu gelap gelita. Keesokkannya, Mak Timah dan Aman terkejut apabila mendapati Adli terbaring di lantai dapur yang hanya beralaskan tikar getah.
                  "Adli, Adli. Bangun. Kenapa tidur kat sini?" tanya Mak Timah.
                  "Mak! Malam tadi ada benda cekik Adli. Benda tu sama macam abang. Dia cekik Adli pastu dia suruh pulangkan sesuatu. Adli tak tahu apa yang dia cakap. Adli takut mak. Dia cakap lagi, kalau tak pulangkan, ada benda lagi teruk Adli kena nanti." kata Adli sejurus tersedar daripada pengsannya.
                  "Aku mimpi ada benda hitam kejar aku. Dia cakap sama macam kau cakap, Adli. Sebijik." kata Aman tiba-tiba.
                  "Benda apa yang korang dah ambik ni. Cuba ingat balik." kata Mak Timah kepada Aman dan Adli.
                  "Yang Aman ingat pun, semalam Adli ada ambik beberapa ketul batu sungai dan letakkan dalam akuarium tu." kata Aman sambil menunjukkan batu sungai yang diambil oleh Adli di dalam akuarium yang berdekatan dengan mereka.
                  "Ha! Batu sungai tu la yang 'dia' suruh pulangkan balik. Pandai-pandai je pergi ambil batu tu. Kan dah kena kacau. Lain kali jangan ambil barang sebarangan lagi-lagi dekat tempat-tempat yang sunyi macam sungai tu. Barang yang pelik ke cantik, jangan diambil kerana barang-barang tu ada penunggu. Dia marahla sebab ambik barang dia. Cuba kalau ada orang ambik barang Aman dan Adli, mesti marahkan. Macam tu juga mereka. Dah mandi cepat-cepat pastu pergi letak balik batu dekat sungai." kata Mak Timah.
                   "Baik ibu. Maafkan Aman ngan Adli ibu." kata Aman dan Adli serentak.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
                   "Cepat letak balik batu tu. Aku dah seram sejuk ni." kata Aman kepada Adli.
                  "Kejapla, Licin ni. Jatuh tak pasal-pasal nanti." balas Adli. Adli terus membaling batu-batu tersebut ke dalam sungai. Apabila mereka mahu pergi, mereka nampak seorang perempuan jelita yang berpakaian serba putih berada di seberang sungai sedang tersenyum sambil melambaikan tangan kepada mereka. Mereka membalas lambaian mereka dan meminta maaf kepada perempuan tersebut kerana percaya bahawa perempuan itu adalah pemilik batu-batu tersebut.Sejak daripada hari itu, mereka pasti akan terserempak dengan perempuan itu setiap kali mereka melepak di sungai itu. Mereka sudah serik untuk mengutip barang-barang yang pelik lagi selepas apa yang timpa mereka dahulu.

Sekian. :) #MASA15 #AL-IHFAZ

1 comment: